Tanggungjawab Suami (2 Topics)
11:12 p.m. - 2006-01-29

1. TANGGUNGJAWAB SUAMI

Assalammualaikum.....

Sebelum saya memberi peringatan kepada semua para-para suami, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih atas maklum balas dari bab poligami dan kerana isteri suami sakit jiwa. Saya sudah menduga dari awal lagi apakah tindakan para-para
isteri atau wanita tentang bab tersebut, sebab itu saya hanya tersenyum membaca maklum balas anda semua. Saya doakan semoga anda semua beroleh kefahaman dan taufik serta hidayah dari Allah swt.

Untuk pengetahuan semua grup Relexjap ini, sudah sampai masanya saya mengajak anda semua baik lelaki mahupun wanita kembali menghayati ajaran Islam secara menyeluruh. Islam bukan untuk para-para Nabi, para sahabat-sahabat Rasulullah saw atau untuk zaman dahulu kala. Islam sesuai diamalkan untuk setiap zaman, cuma kita sekarang ini sudah jauh meninggalkan ajaran Islam yang sebenarnya walaupun kita mengaku kita orang Islam, tapi Islam kita bagaimana penghayatannya.

Saya tidak akan menjawab beberapa maklum balas anda buat ketika ini (bukan saya hendak sombong), cuma saya meminta anda semua memahami secara lebih mendalam apa maksud dan tujuan saya memberi pandangan atau pendapat tersebut samada pendapat itu telah atau yang akan diutarakan di masa hadapan. Saya juga sibuk dengan tugas saya sebagai seorang doktor dan masa saya bertugas dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Semoga Allah izinkan saya menyumbangkan tenaga untuk mengajak umat Islam kembali menghayati Islam sepertimana zaman Rasulullah saw. Kepada semua umat Islam yang membaca pandangan atau pendapat saya yang telah atau akan diutarakan di masa hadapan, yang mana ada kebaikan atau kebenarannya anggaplah ianya datang dari Allah swt. dan sama- samalah kita menerima walaupun pahit dan janganlah kita menjadi orang yang membangkang atau orang yang cepat melenting. Mana yang tidak benar itu anggaplah dari kelemahan diri saya sendiri dan tegurlah atau nasihatlah saya kembali dengan membawa hadis nabi.

Oklah bagaimana tanggungjawab suami. Rumahtangga yang aman damai itu terbina di antara gabungan kegagahan seorang lelaki dan kelembutan seorang wanita. Lelaki berusaha mencari nafkah sementara wanita menguruskan rumahtangga. Tentu tidak akan wujud sebuah rumahtangga yang bahagia jika suami sahaja yang gagah atau kelumbutan isteri semata-mata. Syariat Islam telah memuliakan wanita dengan memberi satu jaminan bagi kehidupan mereka. Disebabkan fitrah dan peraturan hidup itulah maka suami berperanan memimpin isteri ke arah mencari keredhaan Allah swt. pada keseluruhannya, suamilah yang bertanggungjawab di atas segala masalah anak isterinya tetapi tidaklah sampai membiarkan mereka lalai daripada tanggungjawab dalam ibadah yang khusus (fardhu ain). Firman Allah
swt bermaksud:

"Peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksa neraka."

Setelah kita mengetahui sifat-sifat seorang suami, perlu juga diketahui tugas dan tanggungjawabnya iaitu:


1. Menjadi pemimpin keluarga
2. Mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardhu ain
(wajib) iaitu tauhid, feqah dan tasauf.

 

Ilmu tauhid: Diajarkan supaya beriktiqad ahli Sunnah Wal Jamaah. Mengajar sifat-sifat yang wajib, mustahil, harus bagi Allah dan Rasulullah saw. Rukun Iman, Islam dan lain-lainnya.

Ilmu feqah: Mengajarkan mereka supaya ibadah yang tunaikan itu menepati syariat Islam, seperti soal-soal kerukunan dalam sembahyang dan puasa. Mengenai perkara yang halal, haram, harus, makruh dan sunat. Menerangkan kepada isteri mengenai haid, nifas dan wiladah malah perkara-perkara yang berkaitan dengannya serta hukum hakam menyucikan najis (mughallazah, mukhaffafah dan mutawassitah). Contoh bagi mandi hadas besar (haid kering): Apabila darah haid itu kering menjelang waktu maghrib, hendaklah ia segera mengangkat hadas besar dan menggantikan dua waktu sembahyang fardhu yang tertinggal iaitu zuhur dan asar. Jika suci pada waktu Isyak maka hendaklah diqadhakan sembahyang asar dan maghrib. Begitulah seterusnya jika di waktu yang lain.

Ilmu Tasauf: Mendidik ahli keluarga supaya sentiasa berakhlak dalam beramal dan dapat menjaga segala amalannya dari dirosakkan oleh riak, sombong, bangga dan menunjuk-nunjuk serta mengadu domba. Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Tidak mendapati akan Allah oleh seorang dengan dosa yang terlebih besar daripada dosa yang jahil akan segala isi rumahnya." Ini bermakna suami yang tidak mengajar isteri-isterinya mengenai perkara-perkara yang fardhu ain dan membiarkan mereka di dalam kejahilan.

3. Memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal dari sumber dan usaha yang halal. Ingatlah para suami, kewajipan kita terhadap mereka ialah melayani dengan baik dalam hal di atas. Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Kewajipan seorang suami terhadap isterinya ialah suami harus memberi makanan kepadanya jika ia berpakaian dan tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkan dia dan juga tidak boleh meninggalkannya kecuali dalam tempat tidur (ketika isterinya membangkang)."

Berkata setengah ulama:
"Sesungguhnya sekali membeli pakaian anak isteri yang menyukakan hati mereka maka suami akan mendapat pahala selama 70tahun."

4. Tidak menzalimi anak isteri iaitu dengan
- memberi didikan agama secukupnya.
- Memberi nafkah zahir dan batin secukupnya
- Menegur, menasihati dan menunjuk ajar jika mereka melakukan maksiat dan kesalahan.

5. Hendaklah memberi nasihat jika isteri gemar mengumpat, berleter serta melakukan sesuatu yang bersalahan dengan perintah agama. Selalulah ceritakan gambaran-gambaran wanita yang diseksa di atas perbuatan yang sedemikian.


Kaum wanita tidak digalakkan menziarahi ke rumah orang lain. Ini bukanlah bererti tidak boleh berziarah langsung. Berziarah itu boleh tetapi biarlah kena pada tempatnya. Sedangkan lidah tergigit, inikan pula kita manusia biasa. Tambahan pula bila sudah hidup bersuami isteri, kena sabar dengan kerenah suami, kerenah isteri dan anak-anak.

Di antara perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan berkahwin apabila suami tidak memberikan nafkah yang halal kepada ahli keluarganya. memandang ringan akan hak-hak keahlian mereka apatah lagi jika membiarkan mereka susah dan menderita. Rasulullah saw telah mengingatkan dengan sabda yang bermaksud:

"Memadailah seorang itu derhaka dan dosa bahawa menghilangkan ia akan hak orang yang wajib dinafkahinya."

Dosa yang paling berat sekali apabila suami tidak menunaikan mas kahwin kepada isterinya sepertimana yang dijanjikan. hal ini telah diperjelaskan oleh baginda dengan maksudnya: "Siapa sahaja seorang lelaki yang mengahwini perempuan dengan mas kahwin sedikit atau banyak, sedangkan dalam hatinya ia tidak berniat untuk memberikan hak kepada perempuan tersebut (mas kahwin) kepadanya. maka ia meninggal dunia sedang ia belum memberi hak perempuan tadi kepadanya maka ia akan menjumpai Allah di hari kiamat nanti dalam keadaan berzina."

Berkata pula Imam Ghazali: Kebinasaan berkahwin ini umumnya tiada sejahtera daripadanya melainkan orang yang alim akan ilmunya yang dapat memberi manfaat di hari akhirat. Mempunyai akal yang sempurna dan baik akhlaknya malah mengetahui dengan mata hatinya akan adat dan sikap seorang wanita itu. Sabar ia di atas segala kejahatan lidah isterinya dan tidak mengikut segala kehendak hawa nafsunya melainkan bermuafakat dengan perkara yang bertepatan dengan syariat. Secara ringkas di sini dapatlah diertikan, seorang suami yang alim (mengetahui) akan ilmu-ilmu keagamaan itu mestilah mendidik isterinya dengan penuh berhikmah. Tidak mengambil sesuatu tindakan yang melulu sebaliknya bukanlah bermaksud tunduk dan patuh di bawah telunjuk isteri. Malah bersikap lapang dada dalam menghadapi sesuatu masalah sebab Allah menguji seseorang itu mengikut kemampuannya.

Sikap kita di alam bujang dan alam rumahtangga akan jauh bezanya baik yang lelaki mahupun perempuan. Apa yang lebih membimbangkan bila seorang lelaki itu telah memasuki gerbang rumahtangga di mana sikapnya di zaman bujang yang terkenal dengan kuat bersembahyang sunat, puasa sunat, bezikir dan bersedekah telah berubah. Berubah menjadi seorang yang leka dan selalu menyibukkan diri dengan anak isteri. Bekerja keras untuk mengumpul harta dan kemewahan semata-mata untuk keluarga. lebih buruk lagi bila sifatnya yang pemurah tiba-tiba menjadi kedekut dan sombong dengan harta yang ada.

Inilah masalah yang perlu kita semua ambil perhatian. Bukan sahaja kepada golongan suami, isteri sendiri mestilah memainkan peranan membantu suami dalam mengatasi masalah tersebut. Bukannya mengungkit, menghasut dan memaksa suami melakukan itu ini yang di luar batas kemampuannya. Mencari rezeki untuk memudahkan keluarga memanglah digalakkan tetapi biarlah kena pada tempat, masa dan keadaannya, janganlah pula sampai tertinggal ibadah yang wajib! Sebab, telah berkata Abi Sulaiman Ad Darani r.t: “Barang yang membimbangkan akan dikau daripada mengingati Allah swt iaitu daripada ahlinya dan hartanya dan anaknya maka iaitu celaka atasmu.”

Kesimpulan, bersikap sederhanalah dalam mengatur dan menyelenggarakan sebuah rumahtangga. Sentiasalah mengadakan perbincangan dengan isteri (tambahan kalau yang beristeri lebih dari satu) terutama dalam mujahadah mengikis nafsu mazmumah yang masih lagi berkarat di hati-hati kita. Seorang suami mestilah bersikap tegas di atas sikap anak isteri bila mengerjakan perkara mungkar yang berlawanan dengan syariat samada yang haram, makruh, harus ataupun perangai yang kurang beradab. Dayuslah seorang suami jika dia sama-sama menjadi tukang sokong sekaligus bersubahat dengan keluarganya. Allah sentiasa mengingatkan hamba-hambanya supaya bertolong-tolong dalam perkara yang mendatangkan kebajikan bukan sebaliknya kerana ianya mendatang dosa dan seteru.

Akhir kata dari saya, Allah telah mengingatkan para suami dengan firman yang bermaksud: "Dan ketahuilah harta dan anakmu itu adalah fitnah."

Maka marilah kita jagai mereka agar selamat dari bala bencana dunia akhirat. Itulah keistemewaan kita sebagai suami, kelebihan satu darjat kaum lelaki itu dari wanita ialah darjat suami yang bertanggungjawab dan berkewajipan dalam mengeluarkan belanja.

 


2. TANGGUNGJAWAB SUAMI DALAM NAFKAH HARTA

Assalammualaikum.....

Isteri merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan ke atas suami untuk memeliharanya. Lazim kejadiannya memang berasal dari kejadian yang lemah atas sifat perempuannya maka sudah semestinyalah suami menjaga isterinya dengan sebaik-baik jagaan. Seorang suami mestilah tahu hak-hak yang dimiliki oleh seorang isteri dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah saw:

"Takutlah kepada Allah tentang wanita (isterimu). Sebab dia engkau ambil (kahwin) dengan amanah daripada Allah."

"Dan bagi mereka (isteri) mempunyai hak atas kamu (suami) menduduki satu darjat di atas mereka, dan Allah adalah Maha bijiksana. Yakni suami menduduki tempat sebagai pemimpin kehidupan berumahtangga yang bertanggungjawab."

"Lelaki (Para suami) adalah pelindung dan pembila atas perempuan (isteri) berdasarkan apa-apa yang telah dilebihkan Allah bagi yang satu daripada yang lain. Dan berdasarkan apa-apa yang mereka nafkahkan dengan harta mereka."

Pemberian nafkah adalah wajib semenjak mula berlakunya akad nikah, meskipun isterinya itu seorang yang kaya raya. hak isteri itu tidak berubah dan kewajipan itu
tetap ke atas suami. Takrif nafkah, ia adalah suatu bahagian daripada hartanya yang dibelenjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Manakala yang dikatakan harta itu pula mestilah dari sumber yang halal, ia bukan hak anak yatim atau bukan hak orang lain yang disimpan kepada kita serta ia bukan dari usaha curi, rasuah, riba dan sebagainya. Jadi, harta yang dijadikan nafkah untuk perbelanjaan isteri-isteri dan anak-anak, ia mestilah harta yang diperolehi dari jalan yang halal. Harta yang haram, ia tidak boleh dijadikan nafkah. Sabda Rasulullah saw

"Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram, nerakalah yang senang kepadanya kelak."

Adapun nafkah, ia terbahagi kepada 3 bahagian atau nafkah kepada 3 bahagian. Iaitu yang pertama ialah kepada isteri, yang kedua kepada anak dan yang ketiga kepada usul. Nafkah kepada isteri, mestilah isteri yang sah atau isteri dalam 'Iddah raj'i atau 'Iddah yang boleh dirujuk kembali, ertinya ialah 'Iddah dari talak satu atau dari talak dua. Tetapi 'Iddah talak tiga tidak berhak diberi nafkah kerana ia adalah talak yang tidak boleh dirujuk kembali.

Nafkah yang diberi kepada anak, mestilah bagi anak yang sah. Anak yang di luar nikah atau anak zina, tidak wajib diberi nafkah. Takrif wajib nafkah kepada anak juga ialah anak yang bukan akil baligh. Tetapi bagi anak yang sudah akil baligh, tidak wajib lagi bagi ayah untuk memberi nafkah kecuali anak itu tidak boleh mencari nafkahnya sendiri. Katalah seorang anak itu akil baligh ketika umurnya 15 tahun sedangkan masa itu dia masih belajar di sekolah. Ertinya, anak itu belum berupaya lagi mencari rezeki. Makna, ayahnya wajib memberi nafkah kepada anaknya.

Nafkah usul, ialah nafkah keturunan. Umpamanya, anak memberi nafkah kepada ayahnya. Syaratnya mestilah ibu bapa itu tadi adalah terlalu susah hingga tidak mampu menyara hidupnya. Seorang ayah yang sudah tidak mampu mencari nafkahnya sendiri, adalah berkewajipan bagi anak-anaknya memberi ibu bapa nafkah. Ertinya, seorang anak yang memberi belanja hidup kepada orang tuanya, bukan dibuat suka-suka hati. Ia adalah satu
tangggungjawab yang wajib.

Seorang suami perlulah mengetahui syarat-syarat yang wajib dan berhak diberi nafkah kepada isteri, bukan ikut bagi sesuka hati sahaja. Syarat pertama ialah isteri yang taat kepada suami. Taat dalam ertikata menyerah diri bulat-bulat kepada suami samada jiwa raganya, tenaga dan akal fikirannya. Begitu juga, menyerah diri kepada suami bererti menyerah zahir dan batinnya pada suami. Isteri yang demikian saja yang wajib diberi nafkah. Isteri yang tidak taat 100% kepada suami atau sentiasa berbalah dengan suami, tidak wajib diberi nafkah.

Syarat yang kedua ialah isteri yang tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami. Seorang isteri itu memang dilarang oleh syariat, keluar rumah tanpa izin dari suami. Namun itu pun, hari ini begitu ramai sekali para isteri yang tidak sedar perintah ini. Mereka bebas keluar rumah sesuaka hati padahal yang dia lakukan itu adalah satu dosa. Cuma para isteri hari ini merasakan apa yang dia lakukan itu tidak apa-apa. Malah, ada setengahnya sampai berani membentak suami, kalau dia ditanya tentang pemergiannya itu. Isteri yang keluar tanpa keizinan suami, bererti dia tidak taat dan melanggar syariat. Ketaatan pada suami bererti taat di dalam agama. Apa saja yang dilarang dan diharamkan oleh Allah dan Rasul dalam rumahtangga dan di dalam perhubungan suami isteri, isteri hendaklah taat. Gugur nafkah bagi isteri-isteri yang tidak taat. Cuma gugur nafkah seorang isteri yang tidak taat itu, sabitnya adalah dengan syarat-syarat yang tertentu. Ertinya, ada beberapa syarat yang mensabitkan gugurnya nafkah isteri apabila dia berlaku tidak taat.

Adapun suami-suami yang wajib memberi nafkah kepada isteri terdiri dari tiga golongan. Pertama, suami yang kaya, kedua ialah suami yang pertengahan dan yang ketiga ialah suami yang miskin atau papa. Ketiga-tiga golongan ini ada peringkat nafkah masing-masing terhadap isteri. Seorang suami yang kaya lain ukuran nafkahnya dan suami yang sederhana kekayaannya, lain ukuran nafkahnya, seorang suami yang miskin papa, lain pula ukuran nafkahnya. Kewajipan nafkah bagi suami yang kaya menurut yang diterangkan dalam pengertian syariat ialah, memiliki harta yang boleh dibelanjakan sehingga umur yang ghalib atau lazimnya dia boleh hidup dan kalau sekiranya dia mati, masih ada baki harta itu. Itulahyang dikatakan kaya.

Umur yang ghalib seorang itu boleh hidup, ia adalah ukuran biasa yang umum berlaku dikalangan satu-satu masyarakat itu. Biasanya bagi orang-orang melayu, disekitar 55 membawa kepada 65 tahun. Itulah sekitar umur yang ghalib seseorang itu boleh hidup. Walau bagaimanapun, itu adalah ukuran mengikut akal kita. Tetapi di sisi syariat, tidak ada siapa yang boleh mengetahui kecuali Allah swt.

Bagi orang kaya, ada kaedah-kaedah nafkah yang mesti diberikannya kepada isterinya. Pertamanya, suami mesti menyediakan sebuah rumah untuk anak isterinya, sama seperti rumahnya semasa dia berada bersama ibu bapanya dahulu. Ertinya, nafkah orang kaya terhadap isterinya adalah berat. kalau suami tidak menyediakannya, belumlah selesai tanggungjawab nafkahnya terhadap isterinya.

Kemudian, makan dan minum yang mesti disediakan untuk isterinya pula, mestilah jenis makan dan minum yang pernah dia terima semasa dia hidup bersama dengan ibu bapanya dahulu. Katalah semasa dia hidup bersama ibu dan bapanya dahulu, dia makan nasi yang berasnya bernilai beras terbaik. Maka, suami mestilah menyediakan makan untuk isterinya dengan beras yang terbaik juga. Begitu juga dengan lauk pauknya yang mana kalau sekiranya semasa berada bersama ayah dan ibunya dahulu dia makan lauk yang baik-baik, maka suami mestilah memberi isterinya lauk pauk yang baik-baik juga, seperti daging, ayam dan sebagainya.

Seterusnya dalam lain-lain peralatan rumah serta dapur, semuanya mesti disediakan mengikut keadaan yang baik-baik seperti dapur gas, alat-alat perabut dan lain-lainnya, mesti juga dari barang yang baik-baik. Sekiranya, dahulunya dia biasa dibantu oleh orang-orang gaji, maka hendaklah suami mengadakan orang gaji untuk isterinya. Dan begitulah seterusnya dalam hal-hal yang lain di dalam rumahtangga suami itu, setiap apa yang pernah ada padanya dahulu, mestilah disediakan untuk isterinya.

Tentulah berat tanggungjawab bagi seorang suami yang kaya apabila diukur dan ditinjau di sudut fekah. Apabila kita tinjau di sudut tasauf iaitu di sudut hendak mendapatkan kewarakan dalam beramal ibadah, perkara-perkara yang demikian bergantung kepada keredhaan isteri. Seandainya isteri redha, tidak mahu segala kesenangan dan kenikmatan duania kerana takut akan hisabnya terlalu berat di akhirat nanti, isteri boleh menolak semua itu dan memilih kehidupan zuhud.
Tetapi harus pula seorang suami itu ingat, suami tidak boleh memaksa isterinya zuhud. Tanggungjawabnya ialah untuk menyediakan tempat tinggal, makan minum dan pakaian untuk isterinya. Ini adalah tuntutan wajib ke atasnya.

Daripada pengertian tentang memberi nafkah kepada isteri bagi suami-suami yang termasuk dalam golongan kaya, dapatlah dijadikan ukuran tentang bagaimana pula tanggungjawab suami-suami yang termasuk dalam golongan pertengahan dan golongan miskin. perlulah diingat
bahawa dalam persoalan memberi nafkah kepada isteri ini, Rasulullah saw pernah bersabda:

"Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan perempuan, sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan telah dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimat Allah dan diwajibkan atas kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang sebaik-baiknya."

Kemudian Allah swt juga ada berfirman yang maksudnya:

"Hak (nafkah) isteri yang dapat diterimanya dari suaminya seimbang dengan kewajipan terhadap suaminya itu dengan baik."

Dan di dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksudnya:

"Tempatkanlah mereka (para isteri) dimana kamu bertempat tinggal menurut kemampuan dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka."

Daripada pertanyaan-pertanyaan di atas jelaslah kepada kita ukuran pemberian nafkah bagi seorang suami itu terhadap isterinya. kalau suami-suami yang termasuk dalam katagori yang kaya tadi, telah digariskan kaedah-kaedah nafkah yang wajib diberikannya kepada isterinya, maka bagi suami-suami yang pertengahan dan miskin, bolehlah kita gariskan tentang banyak mana nafkah yang wajib suami berikan kepada isterinya. Iaitu berdasarkan daripada hadis Rasulullah saw dan dari pertanyaan Allah di atas, suami-suami wajib memberi nafkah kepada isteri-isterinya mengikut kemampuannya serta menurut keadaan dan tempat.

Begitulah tuntutan nafkah zahir kepada para isteri yang wajib bagi suami-suami melaksanakannya. Seandainya para isteri bagi suami yang miskin atau pertengahan kaya meminta lebih dari yang mampu disediakan oleh suami, sabda Nabi saw.:

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."

Menganai nafkah dua orang suami isteri yang sama-sama bekerja samada sama-sama menjadi guru, sama-sama bekerja di pejabat atau sama-sama menoreh getah dan sebagainya. Sebenarnya persoalan ini adalah amat berat kerana ia melibatkan harta pusaka yang tidak dapat ditentukan siapa punyanya. Seandainya, dalam soal kedua-dua mencari nafkah ini ditakdirkan suami meninggal atau ditakdirkan isteri meninggal, bagaimana pula kedudukan harta yang ditinggalkan.

Dalam hal ini, jika meninggallah salah seorang di antara keduanya, harta yang tinggal tidak boleh dipusakakan kerana harta yang tinggal itu tidak tentu siapa yang punya. Harta itu sudah bercampur aduk antara nafkah isteri dengan nafkah suami. Syariat hanya menganggap hasil pencarian suami sahaja yang dijadikan harta pusaka untuk anak isteri tetapi isteri tidak boleh mencari nafkah untuk menjadikannya harta. Setiap wanita hanya boleh memiliki harta melalui peninggalan ayah ibu atau pun adik beradik atau pengninggalan suami.

Sekiranya seorang itu bekarja serta berusaha dan berikhtiar untuk menambahkan pendapatan keluarga, satu pejanjian antara isteri dan suami mesti ada untuk mengikrarkan harta sama sepencaria itu. Di antara ikrar-ikrar yang boleh dibuat ialah seperti misalnya, suami mengatakan kepada isteri bahawa seluruh harta yang mereka cari bersama itu adalah hak suami, walaupun bahagian isteri yang mencari ada di dalamnya. Tetapi suami boleh mengikrarkan semuanya harta dia. Sekiranya suami meninggal, seluruh yang ada pada harta itu, adalah menjadi harta pusaka yang boleh dibahagi-bahagiakan. Begitu juga, suami boleh mengikrarkan kepada isteri tentang harta yang sama-sama dicari itu dengan mengatakan bahawa semuanya adalah hak isterinya. Sekiranya suami meninggal, seluruh harta yang tingga itu adalah hak isterinya.

Boleh juga, di antara suami isteri yang sama-sama mencari nafkah mengasingkan harta masing-masing. Misalnya, kalau isteri membeli pinggan mangkuk hasil pencariannya, isteri boleh menyatakan kepada suaminya bahawa pinggan mangkuk itu adalah hartanya. Dalam soal ini mesti ada perjanjian bertulis, kerana ia tidak akan menjadi perbalahan apabila meninggal salah seorang antara kedua nanti. Dan yang selebih baiknya ialah dengan memanggil ahli-ahli keluarga waris untuk menjadi saksi. Ini adalah amat mustahak sekali kerana ia melibatkan soal paraid atau pembahagian harta.

Soal suami isteri yang sama-sama bekerja mencari nafkah sudah menjadi perkara biasa hari ini. Kalau sama-sama tidak jelas tentang harta dan faraid harta, takut-takut nanti seluruh isi keluarga memakan harta yang haram. Sedangkan isteri yang pergi bekerja itu pun, isteri mesti hati-hati sungguh kerana takut-takut isteri membawa balik harta yang haram. Hal ini mudah sangat berlaku. Andainya isteri pergi bekerja itu tanpa lafaz izin dari suami atau tidak menutup aurat, bermakna isteri keluar rumah secara haram. Jadi, suami kenalah melafaskan izin setiap hari kepada isteri serta mensyaratkan kepada isteri setiap kali pergi bekerja dengan menutup aurat. kemudian harta yang jadi sama-sama sepencarian itu pula hendaklah dinyatakan, apakah boleh ia dimakan bersama. Kalau tidak, takut-takut nanti suami memakan harta haram.

<< || >>

Penulisan Sebelum ini
2009-04-02 - Erti Korban Sebenar
2007-10-24 - Kalimah syahadah - rukun Islam pertama sebagai asas hidup.
2007-10-06 - Where are we now?
2006-02-26 - Wanita paling ramai masuk neraka
2006-02-01 - Peihal Isteri dan Rumahtangga (3 Topics)
2006-01-29 - Tanggungjawab Suami 2 (2 Topics)
2006-01-29 - Tanggungjawab Suami (2 Topics)
2006-01-29 - Wanita dan Perkahwinan (3 Topics)
2006-01-29 - Takwa & Tawakal kepada Allah
2006-01-29 - Management Syariat
2006-01-29 - 25 Cara / Kiat membentuk Anak berjaya
2006-01-29 - Madrasah Pendidikan Jiwa (Cara-Cara)
2006-01-29 - Surah Al-Ashr
2006-01-28 - Janji Allah s.w.t. kepada kaum mukminin
2006-01-28 - Tafsir Mimpi / Translating Dreams
2006-01-27 - Berkahwin / Marriage in Islam
2006-01-27 - Celebrating Birthdays (Islamic Perspective)

+ current
+ archives
+ profile
+ diaryland



Links:
(1)Tausyiah
(2)MaayaNoUta
(3)AdvancedIslamicStudies
(4)NnarumixImurann
(2)-(4) are written by me